Skuad Malaysia bawah 23 tahun (B-23) bermula dengan langkah kanan selepas menewaskan Indonesia 2-1 pada aksi pertama peringkat kumpulan Piala AFF B-23 di Stadium Wilayah Rayong, Thailand.

Kejohanan ini merupakan medan persiapan untuk skuad kendalian E. Elavarasan bagi menghadapi Kelayakan Piala Asia B-23 yang berlangsung pada September nanti.

Indonesia yang juga merupakan juara Sukan SEA 2023 di Kemboja pada bulan Mei lalu terlebih dahulu menjaringkan pembukaan menerusi Ramadhan Sananta pada minit ke 29 dalam serangan balas.

Tersentak dengan jaringan itu, anak buah Elavarasan cuba bangkit namun mereka berdepan masalah ketumpulan jentera serangan.

Malah, penyerang Selangor, Aliff Izwan telah mensia-sia peluang terhidang untuk menjaringkan gol pada minit ke 7 selepas menerima hantaran cantik daripada Najmuddin.

Keputusan 1-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama. Namun, skuad Harimau Muda tidak putus asa dan mereka bangkit dengan lebih garang di separuh masa kedua.

Pertukaran beberapa pemain dari bangku simpanan turut membantu merencanakan gerakan ke pintu gol lawan. Percaturan Elavarasan itu membuahkan hasil apabila Fergus Tierney menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti pada minit ke 54.

Jaringan itu turut membangkitkan semangat pemain muda negara untuk terus mengandakan asakan. Hasilnya, Tierney sekali lagi menambah gol kedua selepas menolak masuk dalam situasi kelam kabut di kawasan kotak penalti.

Walaupun pengadil memberikan masa tambahan sebanyak 8 minit, namun Indonesia masih buntu mencari gol penyamaan. Keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan sekaligus menghadiahkan 3 mata pertama untuk negara.

Selepas bertemu Indonesia, mereka akan menentang Timor-Leste pada Selasa, 22 Ogos 2023 (8.00 malam waktu Thailand).

Juara kumpulan (3 pasukan) dan naib juara kumpulan terbaik (1 pasukan) akan layak ke separuh akhir pada 24 Ogos, seterusnya aksi penentuan tempat ketiga dan Final akan berlangsung pada 26 Ogos 2023.